Sunday, March 4, 2012

Bukti kasih sayang pada Rasulullah

“KERANA peribadinya aku terpesona, kerana budinya aku jatuh cinta. Rinduku padanya tiada terkata, nantikanlah daku di taman syurga”

Mendengar bait nasyid bertajuk Dia Kekasih Allah, oleh kumpulan Hijjaz, menusuk kalbu. Benarkah kita akan dipertemukan dengan kekasih Allah, Rasulullah di syurga nanti? Layakkah kita? Bermula saat ini kita harus mengorak langkah menempah tiket ke syurga yang mana kita sendiri menentukan tempat dengan izin Tuhan yang Esa. Tanggal 12 Rabiulawal, bersama kita menyelusuri perjuangan baginda hingga tegaknya Islam hari ini. Kita singkap bagaimana anak yatim mampu menjadi manusia terulung, anak mengenang jasa, suami adil, bapa penyayang, datuk penyabar dan ketua berdedikasi.


Terapkan sifat pemimpin umat dalam diri untuk menjadi insan berkualiti pasti menerima syafaat dan berpeluang berhimpun bersama di syurga Allah. Amalkan sunnah dan memperbanyakkan selawat sebagai tanda kasih, nescaya kita manusia paling bahagia dengan berbekalkan cinta agung kepada Pencipta dan kekasih-Nya.

Pada saat dugaan melanda, bagaimana kita menghadapinya dan tahap manakah kesabaran di jiwa? Adakah Rasulullah jadi ikutan? Sabar menggembala kambing, dukacitanya tatkala bapa saudara meninggalkan baginda dan saat dakwah Islam ditolak di Ta’if. Akibat dilontar batu, kedua kakinya berdarah, Zaid bin Harith yang cuba melindungi baginda turut mengalami kecederaan di kepala. Kemudian, terbuka tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menghimpitkan Bukit Abu Qubais dan Bukit Ahmar, sebaliknya ditolak lantas berdoa: “Ya Allah, berilah hidayah kepada kaumku ini kerana mereka masih juga belum faham mengenai erti Islam”.


Wujudkan kembali sifat sabar dan tabah yang jitu dalam mendidik generasi Rabbani untuk menempuh cabaran dunia hari ini. Usah gunakan kekasaran seperti firman Allah SWT: “Maka, disebabkan rahmat daripada Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekelilingmu.” (QS Ali Imran ayat 159).


Mengenang kembali saat getir perkahwinannya dengan Saidatina Aisyah yang dilanda fitnah, berkat kesabaran mereka Allah SWT membersihkan nama Aisyah melalui wahyu dalam surah an-Nur. Kejadian dinamakan ‘Hadithul ifk’ (berita palsu) sesuai dijadikan panduan dalam hidup yang penuh ranjau fitnah hari ini.

Bagaimanakah cara kita membuktikan cinta kepada baginda? Adakah cukup sekadar sambutan dan perarakan saban tahun? Namun ada segelintir pihak mempertikaikan sambutan Maulidur Rasul. Selagi tidak membazir dan hasilnya berbaloi, tiada masalah jika ia menjadi cara menyemarakkan rasa cinta terhadap baginda. Malangnya, gejala sosial yang berleluasa pula tidak dihiraukan dan dipandang enteng umat Muhammad.


Fitrah manusia mudah alpa dan perlu diingatkan menggunakan pelbagai kaedah seperti penulisan, dokumentari, pengorbanan dan perjuangannya. Kemudiannya, pasti kita menyedari betapa kita tidak mensyukuri nikmat sebagai umat dijanjikan syafaat. Sedih apabila sering kali gagal mengawal kehidupan seperti mana yang diterapkan baginda.

Walau tidak pernah bersua tetapi pada saat akhir sebelum kewafatan, Rasulullah sempat memikirkan nasib umatnya. Bacalah sirah baginda, pasti membuatkan hati kita bertambah teguh mencintai kekasih Allah.


Di sebalik kisah Rasulullah juga, kita dapat melihat betapa berharganya darjat seorang wanita yang diangkat selepas kedatangan Islam. Zaman jahiliah, anak perempuan ditanam hidup-hidup menggunakan alasan mengundang malang, sebaliknya berlaku sebaik kedatangan Nur Islam.


Menerima sokongan wanita hebat, Rasulullah pulang dalam keadaan gementar pertama kali menerima wahyu, segera mendapatkan isterinya, Khadijah Khuwailid dan berkata: “Selimutkan aku, selimutkan aku.” Khadijah segera menyelimutkan baginda hingga hilang rasa takut. Baginda menceritakan apa yang berlaku.


Lantas Khadijah berkata; “Tak mungkin. Demi Allah, Allah tidak sekali-kali akan menghina kamu. Kamu menyambung silaturahim, menanggung pihak yang lemah, memberi pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang berhak.” Jelas sekali peranan wanita memberi semangat untuk perjuangan suami tercinta, demikian halnya dengan Aisyah dan Asma ketika hijrah Rasulullah SAW membuktikan wanita diperlukan dalam dakwah Islah.


Memiliki emosi halus, kuat desakan, lebih toleransi dan hati baik, wanita beriman tidak akan menghiraukan kesusahan ketika menyebarkan kebenaran.


Fahami hakikat ini dan berusaha supaya pemudi serta isteri berjaya membawa panji dakwah islah ke tengah golongan Hawa. Justeru kita dituntut memberi perangsang kepada anak untuk mengambil semangat serikandi terdahulu untuk cemerlang dan bersemangat seperti mereka.


Amalkan langkah menyintai baginda kerana mengasihinya termasuk dalam hakikat iman dan semoga cinta kita terhadapnya tidak pernah goyah. Sebagaimana sabda Rasulullah; “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya dan seluruh manusia lainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, 1/24, no. 14).


Hayati kisah dan sentiasa berselawat ke atas junjungan besar kerana Nabi Muhammad bersabda: “Sesiapa antara kamu paling banyak berselawat kepadaku maka dialah paling dekat kedudukannya denganku” (Riwayat al-Baihaqi) Mengamalkan sunnahnya dalam mencapai keredaan Ilahi kerana mencintai dan mengikuti nabi termasuk tuntutan mencintai Allah. berdasarkan firman-Nya; “Katakanlah (wahai Muhammad), Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa kamu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (surah Al-Imran: 31).


Moga kita tergolong di kalangan ‘Ikhwan’ yang dinyatakan baginda kepada sahabatnya Saidina Abu Bakar. Dalam satu kisah baginda amat merindui ‘Ikhwan’ apabila ditanya siapakah ‘Ikhwan’, baginda menjawab; “Ikhwan ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang tua mereka.” Walaupun tidak bertemu baginda namun tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka yang membaca al-Quran dan hadis serta mencintai Nabi-Nya. Mereka juga mencintai sahabat Nabi yang berjuang menegakkan Islam.

No comments: